KATA ALUAN PENGETUA APHIM
Assalamualaikum
Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan berkat hidayahNya, AKADEMI PEWARISAN HARTA ISLAM MALAYSIA ( APHIM ) telah dapat ditubuhkan. APHIM ditubuhkan di atas kesedaran betapa umat Islam hari ini amat memerlukan satu platform rasmi untuk mendidik mereka ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Fiqh Mawarith ( Pewarisan ).
Hari ini kita dapati ada ratusan malah mungkin ribuan individu di luar sana yang menggelarkan diri mereka Perunding Wasiat, Perunding Harta Pusaka, Perunding Pewarisan Harta dan macam-macam lagi. Mereka yang mewakili pelbagai organisasi baik organisasi yang dimiliki oleh orang Islam atau bukan Islam, memasarkan instrumen-instrumen pewarisan harta seperti wasiat, hibah dan pelbagai lagi. Dari satu sudut, perkembangan ini sangat positif kerana ia menunjukkan industri pewarisan harta Islam ini semakin berkembang.
Namun dari sudut yang lain, perkembangan ini memerlukan Perunding-perunding dibekalkan dengan ilmu yang mencukupi bukan sahaja dari segi undang-undang Syariah malah undang-undang Sivil juga. Hari ini apa yang sedang berlaku, mereka bergiat aktif di dalam memasarkan instrumen-instrumen perancangan harta tetapi maklumat yang mereka sampaikan kurang tepat akibat kurang ilmu. Kesannya, masyarakat menjadi semakin keliru dan dikhuatiri akhirnya mereka lebih suka memilih instrumen sivil kerana merasakan instrumen Syariah ini mengeliru dan menyusahkan.
APHIM berpegang kepada pendirian bahawa individu yang membawa produk instrumen perancangan harta secara Syariah ke dalam masyarakat mestilah terdiri dari individu yang mempunyai IKTIQAD yang jelas , NAWAITU yang tepat dan ILMU yang mantap. Gabungan ketiga-tiga elemen ini akan membentuk seorang PROFESIONAL MUSLIM yang tulin di dalam industri dan itulah objektif utama APHIM .
Sebagai Pengetua, saya memberi jaminan bahawa semua kursus dan program yang ditawarkan oleh APHIM akan mempunyai kualiti kerana ia akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah universiti yang berkelayakan tinggi, profesional seperti Peguam Syariah dan Peguam Sivil yang berpengalaman serta individu dari kalangan 'practitioner' industri.
Akhir kata, saya berdoa agar usaha yang kita lakukan untuk memperjuang dan menyebarkan ilmu pewarisan harta secara Syariah ini akan diberkati oleh Allah SWT, Amin. |